Sunday 27 January 2013

Wanita Menawarkan Diri Untuk Dinikahi








Wanita Menawarkan Diri untuk Dinikahi

Ali meriwayatkan bahawa pada suatu hari beliau berada bersama-sama Anas r.a. dan anak perempuannya. 

Anas berkata:
"Telah datang kepada Rasulullah s.a.w. seorang wanita yang menawarkan dirinya kepada Baginda dengan berkata:
'Wahai Rasulullah, adakah kamu berhajat kepada diriku?'

Anak perempuannya terus berkata:
'Alangkah kurang malu wanita ini dan amat memalukan perbuatannya ini.'

Anas berkata:
'Dia lebih baik daripadamu kerana dia berkehendakkan kepada Rasulullah lalu menawarkan dirinya kepada Baginda.'"
(Riwayat al-Bukhari, al-Nasa'i dan Ibn Majah)

Rasulullah hanya mendiamkan diri atas tawaran wanita itu untuk mengahwini dirinya, seorang sahabat yang berada di situ berkata:
"Wahai Rasulullah, kahwinkan wanita itu dengan aku."

Kesimpulannya, Islam mengharuskan wanita merisik atau menawarkan diri kepada lelaki soleh yang ingin dijadikan suaminya.

Rasulullah telah menunjukkan jawapan terbaik kepada risikan dan tawaran wanita tadi iaitu dengan cara berdiam (sukut).

Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:
"Tidak patut bagi lelaki tersebut menolaknya dengan cara terang-terangan, bahkan cukuplah dengan berdiam diri. Bukankah diam itu selembut-lembut cara dan paling beradab untuk menolak tawaran seorang wanita?" (Fath al-Bari)

Setelah wanita tersebut mendapat jawapan daripada lelaki soleh tersebut berkenaan tawarannya, wanita itu hendaklah diam dan menjauhkan diri daripadanya. Sekiranya lelaki itu menolak tawaran wanita tersebut, maka jauhkan diri daripadanya dan tidak berterusan terang-terangan menawarkan diri lagi.

Walaupun lelaki tersebut bersetuju, wanita tersebut hendaklah menjauhkan diri daripadanya kerana jika benar lelaki itu bersetuju, nescaya dia akan melakukan proses seterusnya, khitbah, taaruf, dan akhirnya akad nikah.

Kesolehan dan kelembutan wanita solehah tidak akan menghalangnya agar segera melakukan kebaikan. Hati wanita yang takutkan Allah diletakkan kepada Nya bukan kepada manusia. Islam tidak memandang hina kepada wanita solehah yang berani menawarkan diri kepada lelaki soleh untuk dinikahi atas jalan syarak.

- Solusi Isu 51 -

No comments:

Post a Comment