Wednesday 17 April 2013

Mimpi................


Kerana bimbangkan anak perempuannya, Salinah, Puan Hazimah pergi ke bilik Salinah untuk menasihatinya. Dari jauh Puan Hazimah mampu mendengar bunyi “ding” dari bilik Salinah menandakan dia sedang asyik melayan “Facebook” walaupun Maghrib hampir menjelang.

Dari pintu, Puan Hazimah melihat Salinah yang sedang tekun menekan butang-butang pada papan kekunci komputernya. Sambil itu Salinah tergelak bersendirian. Puan Hazimah menggelengkan kepalanya.

“Salinah. Sudahlah tu. Maghrib dah nak tiba.” kata Puan Hazimah.
“Sally, mama. S A L L Y. Bukan Salinah. Ya? Kalau Maghrib mau tiba pun kenapa?” jawab Salinah menjengkelkan.

Terkejut, terkesima dan hampa mendengar jawapan Salinah. Puan Hazimah mengeluh dengan panjang. “Salinah. Cukuplah ber”Facebook” tu. Tak ada faedah pun,” keluh Puan Hazimah.

Salinah memusingkan kerusi roda dan berdepan dengan ibunya. Dia memakai skirt yang pendek dan duduk bersilang kaki di atas kerusi itu. Dengan mukanya yang cantik tetapi menjengkelkan, dia merengus kepada ibunya.

“Mama. Boleh tak panggil “Sally”. Nama budak kampunglah “Salinah” tu,” rengus Salinah.
“Budak kampung di Amerika pun bernama Sally,” jawab Puan Hazimah. “Salinah, tolong, mama rayu kepada Salinah. Tolong padam semua gambar Salinah dalam Facebook tu. Berdosa kalau para lelaki tengok aurat Salinah,” sambungnya lagi.
“Mama. Dosa dan pahala tu urusan Allah. Bukan urusan mama. Kalau mama nak cakap pasal dosa, mama nak jadi Allah lah. Begitu ke? Lagipun mama sepatutnya bangga dengan Sally sebab Sally cantik. Ramai lelaki suka. Tengok ‘followers’ Sally. Beribu-ribu. Sebab apa? Sebab kecantikan Sally. Sally cantik sebab dari pada genetik mama juga. Mama pun cantik tapi tulah, setiap kali keluar rumah, mama pakai tudung sampai tutup mulut tu. Mana orang nak puji?”

Puan Hazimah menahan kemarahan dan mengeluh mendengar kata-kata Salinah itu.

“Salinah. Tergamak Salinah berkata begitu pada mama. Sejak papa meninggal, Salinah dah banyak berubah,” katanya.
“Yalah! Masa papa ada, Sally nak dengar lagu “English” tak boleh, Sally nak menari tak boleh, Sally nak berjumpa kawan lelaki tak boleh. Semuanya tak boleh! Apa yang boleh? Duduk rumah, basuh pinggan, berusrah. Ish! Penatlah!”
“Salinah! Papa buat macam tu sebab papa sayangkan Salinah! Papa mahukan anak yang solehah!”
“Sayang? Dengan mengongkong hidup Sally? Ish! Sudahlah! Rimaslah dengan agama ni! Tutup pintu tu! Nanti azan kacau Sally nak ‘chatting’.”
“Astaghfirullahal’azim! Salinah! Baik, kalau Salinah tak nak padam gambar-gambar tu, bagi mama ‘password’ Facebook Salinah. Nanti kalau ajal datang menjemput Salinah, siapa lagi mahu padam semua gambar tu? Biar mama yang padamkan!” kata Puan Hazimah dengan bengis.
“Yaa! Nanti Sally tulis dalam wasiat. Mama baca tau?” sindir Salinah.


Terluka hati Puan Hazimah mendengar kata-kata tajam anaknya, Salinah.


Puan Hazimah meninggalkan Salinah bersendirian di dalam biliknya. Azan Maghrib sudah berkumandang. Memandangkan Puan Hazimah sengaja untuk tidak menutup pintu Salinah, maka Salinah bingkas bangun dari tempat duduknya dan menutup pintu dengan kuat. DUMM!

Setelah menunaikan solat Maghrib, Puan Hazimah berdoa agar Allah memberikan pengajaran kepada anaknya yang tersayang itu. Semoga Allah menunjukkan kebesaranNya kepada Salinah. Berlinangan air mata Puan Hazimah ketika berdoa. Tidak sangka Salinah akan melepaskan kata-kata yang cukup biadab terhadapnya.



Kerana kepenatan, Puan Hazimah melelapkan matanya selepas solat Isya’. Tetapi Salinah masih hangat ber”Facebook” sehingga meninggalkan solat Fardhu.

“Awak cantiklah. Macam Alisa Surinani”
“Ya? Terima kasih.”

Tergelak Salinah membaca komen-komen yang ditaip oleh para ajnabi. Perasaan riak dan bangga mula mengawal dirinya.

“Eiii… ‘Jealous’ I tengok You, Sally. Rambut You bersinarlah! Rejoice ke?”
“Eh tak la. ‘Natural beauty’ tu.”

Salinah tersenyum sinis. Kini dia membangga-banggakan dirinya di hadapan rakan-rakannya. Kerana perasaan yang masih tidak puas, maka Salinah memuat naikkan gambarnya yang sedang berpakaian seksi di tasik. “Sally wants to swim so bad :(,” sebagai statusnya.

Dalam sekelip mata, ramai orang yang menyukai gambarnya itu dan ramai yang komen. Memandangkan pengikutnya di Facebook sudah beribu-ribu, maka posnya itu tersebar luas pada profil orang lain juga. Salinah ketawa dengan bangga. Gembira dia melihat orang lain memuji-muji dirinya yang cantik itu.

Sedang ia ketawa, tiba-tiba mulutnya tidak boleh tertutup. Dia panik dan cuba menjerit. Tetapi suaranya tidak boleh didengari. Jari jemarinya sudah kejang dan matanya terbeliak menahan kesakitan. Dalam beberapa saat, badannya terasa berat dan mustahil untuk digerakkan. Dadanya semakin sempit dan dia terasa sesak.

Lalu ia mati di atas papan kekuncinya.

Puan Hazimah ingin mengejutkan Salinah untuk solat Subuh tetapi dia masih tidak sedar bahawa Salinah sudah pun mati. “Ya Allah, Salinah. Sampai tertidur di atas komputer.” Dia mendekati Salinah dan menggoncangkan badan Salinah. Akan tetapi badannya teramat keras untuk digerakkan. Barulah Puan Hazimah tahu bahawa anaknya sudah mati kekejangan. “YA ALLAH!!!” jerit Puan Hazimah.

Di tanah perkuburan, Puan Hazimah menangis teresak-esak mengenangkan nasib Salinah. Tidak ramai yang berkunjung ketika itu. Hanya jiran-jiran yang terdekat sahaja. Semuanya berusaha untuk menenangkan Puan Hazimah. “Sabarlah Hazimah. Semuanya ketentuan Allah,” kata mereka. Puan Hazimah mengangguk tanda setuju. Akan tetapi dia merisaukan tentang nasib anaknya di alam perkuburan.

Setelah selesai mengendalikan jenazah, Puan Hazimah pulang ke rumah dengan hati yang lara. Dia masih memikirkan tentang kematian anaknya itu. Di rumah, dia terasa sepi. Suaminya telah meninggal dunia beberapa bulan yang lalu dan kini anaknya pula.

Puan Hazimah berdoa kepada Allah agar dosa-dosa anaknya dapat diampunkan. Dia juga berdoa agar diringankan seksaan kubur bagi anaknya. Matanya semakin layu dan dia semakin penat. Akhirnya dia tertidur di atas sejadahnya.

Malam itu Puan Hazimah termimpi Salinah berjumpa dengannya dengan keadaan yang teramat hina. Salinah masih dibalut dengan kain kapan. Akan tetapi kain kapannya telah dibasahi dengan nanah dan darah yang amat busuk. Wajah Salinah hitam dan Puan Hazimah terlihat kulit muka Salinah telah rosak dan tertanggal.Mata kirinya terkeluar dari tengkoraknya dan hidungnya rompong sehingga tulangnya kelihatan.

“Mama… Tolong… Sakit,” kata Salinah dengan hiba.
“Ya Allah, Salinah!”
“Tolong mama. Salinah sakit. Mereka pukul Salinah. Sakit. Pedih”
“Salinah… Maafkan mama. Mama tak mampu tolong Salinah. Ini balasan Allah kepada Salinah dan mama tak mampu nak berbuat apa-apa”
“Mama… Tolong Salinah padam semua gambar Salinah. Salinah diseksa keras, mama.”


Gambaran salina Dalam Mimpi Puan Hazimah 

Puan  Hazimah terbangun daripada tidurnya lalu menangis. “Ya Allah. Teruknya seksaan kuburMu! Ya Allah! Ampunilah segala dosa anakku!”

Bingkas Puan Hazimah bangun lalu ke bilik Salinah untuk membuka Facebooknya. Akan tetapi, Puan Hazimah tidak pernah tahu kata laluan yang ditetapkan oleh Salinah. Bermacam-macam kata laluan yang dimasukkan tetapi gagal. Hampir dia berputus asa, tiba-tiba beg duit Salinah terjatuh dari meja dan isi-isinya terburai. Salah satunya adalah kad pengenalan Salinah. Puan Hazimah mendapat sesuatu idea. Dia memasukkan tarikh lahir yang tertera pada kad pengenalan Salinah sebagai kata laluannya.

Akhirnya dia dapat membuka Facebook Salinah.

Dia memadam semua gambar yang pernah dimuat naikkan dan dia menyahaktifkan Facebook Salinah selepas itu. “Alhamdulillah. Semuanya sudah lenyap.” bisik hati kecil Puan Hazimah. Sejurus selepas itu, dia kembali ke biliknya dan menyambung tidurnya.

Sekali lagi dia didatangi oleh Salinah di dalam mimpinya. Keadaannya masih sama. Salinah tetap diseksa di dalam kuburnya.

“Mama… Salinah sakit. Tolong Salinah,” rayu Salinah.
“Mama sudah padam! Tak ada satu pun yang tertinggal! Kenapa mereka masih menyeksa Salinah? Ya Allah!”
“Mama, dulu Salinah pernah jadi peragawati majalah tanpa pengetahuan mama,” kata Salinah dengan sayu.
“Ya Allah! Macam mana mama nak hapuskan semua itu?”
“Mama, dulu Salinah pernah berzina dengan beberapa orang ajnabi tanpa pengetahuan mama”
“Ya Allah! Sudah! Mama tak sanggup nak dengar!”
“Mama, para ajnabi menyimpan semua gambar Salinah untuk tatapan nafsu mereka”
“ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! LA ILAHA ‘ILLALLAH!”
“Mama, Salinah menjadi riak dengan puji-pujian para ajnabi”

…..

“Mama… Salinah sakit. Seksaan kubur Salinah memedihkan. Salinah tak sanggup. Salinah nak hidup lagi. Salinah nak bertaubat. Salinah nak bersujud. Salinah tak mahu berbuat dosa. Jika Salinah diberi peluang, Salinah bersumpah yang Salinah akan berubah. Mama, tolong… Salinah sakit.”

“Sakit”

“Pedih”

“Mereka seksa Salinah”

“Tolong hidupkan Salinah”

“Salinah mahu bertaubat. Salinah mahu bersujud”

“SAKIT”

"TOLONG"

Setelah seminggu Puan Hazimah tidak hadir ke surau untuk mendengar segmen ceramah Muslimah, ianya menjadi tanda tanya kepada warga surau di kawasan perumahan itu. Lalu mereka memeriksa rumah Puan Hazimah. Rumahnya tidak terusik, bahkan pintu rumahnya tidak dikunci.

“Assalamualaikum? Hazimah? Junaidah masuk boleh?” kata Cik Junaidah.
“Masuk sajalah. Risau saya dengan Puan Hazimah. Dah lama tak nampak kelibat dia,” kata Puan Rahmah.

Keadaan rumahnya masih tersusun tetapi berhabuk seperti tiada penghuninya. “Hazimah?” panggil Puan Rahmah. Mereka membuka setiap pintu yang ada di dalam rumah itu tetapi kelibat Puan Hazimah masih tidak kelihatan.

Akhirnya mereka terjumpa Puan Hazimah di dalam biliknya yang sedang terduduk pada penjuru dinding biliknya. Puan Hazimah masih hidup. Cuma tidak diketahui status kewarasannya.

“Ya Allah, Hazimah!”

Mereka berpusu-pusu ke Puan Hazimah. Puan Hazimah sedang berbisik berkali-kali. Mereka mendiamkan diri untuk mendengar bisikan Puan Hazimah.

“Allah, selamatkan anakku. Allah, selamatkan anakku. Allah, selamatkan anakku. Allah, selamatkan anakku. Allah, selamatkan anakku.”

No comments:

Post a Comment